KUCHING: Setakat ini, Sarawak sudah mencapai sedikit kemajuan untuk mengembalikan hak-haknya dan mendapat pulangan hasil yang lebih adil kepada negeri ini dan rakyatnya, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Kejayaan pertama katanya sekarang, negeri mendapat pulangan yang lebih daripada hasil minyak dan gasnya dengan mengenakan Cukai Jualan ke atas minyak dan gas yang dihasilkan daripada bumi Sarawak.
Kedua, melalui Perjanjian Penyelesaian Secara Komersial yang dimeterai dengan Petronas, Sarawak sekarang mempunyai hak ekuiti dalam kontrak perkongsian pengeluaran yang dianugerahkan oleh Petronas, katanya semasa melancar Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 peringkat negeri Sarawak di sini.
Menurut Abang Johari, kemajuan untuk mengembalikan hak-hak negeri ini, kini Sarawak mempunyak hak untuk menganugerahkan konsesi penerokaan bagi medan minyak di daratan seperti di Miri dan Marudi berdasarkan Ordinan Perlombongan Minyak 1958.
“Apa yang penting, harus ada persefahaman antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam konteks penubuhan Malaysia. Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri hendaklah sama-sama wujud dan mentadbir dalam suasana harmonis berlandaskan Perlembagaan,” tegas beliau.
Selepas 58 tahun, beliau berkata, apa yang seharusnya berada pada bidang kuasa negeri hendaklah dikembalikan kepada negeri jika ada mana-mana hak yang sudah terhakis sama ada sengaja atau tidak sengaja.
“Sebagai sebahagian daripada negara yang berlandaskan konsep persekutuan, kita harus akur bahawa negeri ini ditadbir mengikut undang-undang Persekutuan dan juga undang-undang negeri,” kata Ketua Menteri.
Abang Johari menegaskan, ketika negeri dan negara berhadapan dengan krisis kesihatan akibat pandemik, tiada yang lebih penting daripada engara dan negeri ditadbir oleh kerajaan yang stabil dan Sarawak bertuah kerana mempunyai kerajaan yang agak kuat di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Beliau bersetuju dengan saranan bahawa sekarang bukanlah masa untuk berpolitik tetapi masa untuk mengemblengkan masa dan tenaga untuk menangani ancaman Covid-19.
Malaysia, katanya, dibentuk berasaskan perpaduan dan semangat saling menghormati antara pelbagai kaum.
Sempena Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, beliau mengajak rakyat supaya mengibarkan bendera kebangsaan sebagai simbol patriotism dan membina negara Malaysia yang lebih cemerlang.
GAMBAR:JAPEN
Sumber dari : Jiwa Bakti